KUALA TERENGGANU, 6 Januari- Malaysia berharap Kerajaan Arab Saudi tidak menyekat jemaah haji negara menunaikan rukun Islam kelima tahun ini meskipun dunia diancam varian baharu COVID-19, Omicron.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata jika diberi kebenaran Malaysia akan memastikan jemaah haji mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelak jangkitan.
Tambahnya perbincangan mengenai perkara itu akan dilakukan dalam masa terdekat.
Akhir tahun lalu pihak Tabung Haji telah melakukan perbincangan dengan wakil kerajaan Arab Saudi iaitu sebelum penularan Omicron dan ia mendapat reaksi positif.
"Setakat pertemuan awal, dia (Arab Saudi) akan benarkan, kita harap juga soal COVID-19 (Omicron) ini, Arab Saudi tidak menjadikan sebab atau sekat atau tutup jemaah ke sana, Alhamdulillah setakat ni kita tengok Arab saudi tidak ada syarat lagi" katanya kepada wartawan selepas Majlis Konvokesyen Pendidikan Islam Terengganu 2021 di Taman Tamadun Islam di sini.
Bermula Sabtu ini kerajaan akan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan ibadah umrah sehingga suatu tarikh yang akan diumumkan kelak, susulan susulan penularan varian Omicron Covid-19.
Semalam, media Arab Saudi melaporkan Kementerian Kesihatan negara itu telah mengarahkan sekatan pergerakan lebih ketat susulan peningkatan semasa kes positif COVID-19 selain menasihati rakyatnya untuk mendapatkan dos penggalak.