KUALA LUMPUR, 22 Julai- Kementerian Kesihatan (KKM) masih perlu membuat penelitian terhadap beberapa perkara berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Perubatan (Pindaan) 2024 sebelum ia dilaksanakan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, antara perkara itu termasuk semakan semula empat kelulusan yang belum dimasukkan dalam Jadual 4 RUU berkenaan.
"Kami ingin menyelesaikannya perkara ini dan ia akan dibentangkan di Dewan Negara. Isu graduan yang mempunyai empat kelulusan belum dimasukkan dalam Jadual 4 RUU.
"..perkara itu pun memerlukan tindakan segera dan ia menunggu Dewan Negara," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Klinik Pengurangan Risiko Kardiovaskular (CRRC) di Institut Jantung Negara di ibu negara.
Sebelum ini media melaporkan, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menolak permohonan empat graduan perintis program pembedahan kardiotoraks untuk mendaftar sebagai pakar dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR).
Laporan tersebut menyebut, penolakan itu atas dasar majlis berkenaan tidak mengiktiraf Fellowship Kolej Diraja Pakar Bedah Edinburgh dalam kelayakan Pembedahan Kardiotorasik.
Sementara itu, Rang Undang-Undang (RUU) Perubatan (Pindaan) 2024 yang bertujuan menambah baik peruntukan untuk melaksanakan proses kelulusan dan kepakaran pengamal perubatan telah diluluskan di Dewan Rakyat pada Rabu lepas.