KUALA LUMPUR, 28 November - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi menghadapi gelombang banjir serta ancaman taufan Senyar yang dijangka memberi kesan kepada beberapa negeri dalam tempoh terdekat.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Suriani Datuk Ahmad kesiapsiagaan ini melibatkan seluruh rangkaian Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), fasiliti primer dan hospital di kawasan berisiko.
KKM memberi tumpuan kepada pengurangan risiko kesihatan melalui pencegahan, pemantauan penyakit berjangkit, kawalan persekitaran serta aktiviti kesihatan awam di PPS.
Pasukan perubatan kecemasan KKM terdiri daripada Rapid Response Team (RRT), Medical Emergency Response Team (MERT) serta pasukan Mental Health and Psychosocial Support (MHPSS) yang bersedia digerakkan ke lapangan pada bila-bila masa.
“Kami bukan sahaja memberi rawatan kepada penduduk terjejas, tetapi memastikan sokongan psikososial turut disediakan. Petugas juga manusia, mereka perlu kuat untuk membantu mangsa,” jelasnya.
Sehubungan itu, KKM bekerjasama rapat dengan JKM dan agensi negeri bagi memastikan setiap Pusat Pemindahan Sementara berada dalam keadaan bersih, selamat, sesuai untuk warga emas, OKU, kanak-kanak dan mematuhi standard kesihatan.
Dalam masa sama, fasiliti kesihatan primer dan hospital kini berada dalam mod kesiapsiagaan tinggi dengan tenaga kerja dan logistik mencukupi untuk menampung peningkatan permintaan semasa banjir.
KKM juga telah mengenal pasti fasiliti alternatif bagi memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terhenti sekiranya fasiliti utama terjejas atau terputus akses.
KKM menegaskan bahawa pengurusan banjir hanya berkesan melalui kerjasama erat antara agensi persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan.
“Kita ada ekosistem yang lengkap NADMA, JKM, APM, bomba dan PDRM. Kebajikan mangsa diuruskan JKM, kesihatan oleh KKM, penyelamatan oleh bomba. Ini membentuk kesinambungan yang mantap,” katanya.
Datuk Seri Suriani Datuk Ahmad turut memaklumkan bahawa beliau akan turun ke Perlis dan beberapa negeri lain bagi menilai sendiri keadaan PPS serta memastikan fasiliti kesihatan, termasuk klinik desa dan fasiliti alternatif, benar-benar bersedia menghadapi banjir.