KUALA LUMPUR, 28 November - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus memperkukuh keupayaannya dalam menguruskan penduduk terjejas banjir melalui pelbagai penambahbaikan yang dilaksanakan selaras dasar dan mekanisme Pengurusan Bencana yang digariskan NADMA sejak 1 Ogos 2024.
Ketua Pengarah JKM, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, walaupun negara berdepan bencana banjir setiap tahun, usaha penambahbaikan berterusan tetap menjadi keutamaan bagi memastikan kebajikan penduduk sentiasa terpelihara.
“Pada setiap tahun memang kita sentiasa berusaha menambah baik apa-apa yang kurang, kita banyak belajar dan terus belajar dengan matlamat akhirnya memberi kesejahteraan kepada semua mangsa yang terlibat," katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia, pada Jumaat.
Bawah mandat NADMA, JKM bertanggungjawab menguruskan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sejak peringkat awal, merangkumi pemilihan lokasi selamat, penyediaan kemudahan mesra OKU, warga emas dan kanak-kanak, selain memastikan keperluan asas seperti bekalan air bersih mencukupi.
Pada masa sama, JKM turut menguruskan pengagihan makanan, bantuan psikososial, pendaftaran ketua isi rumah dan ahli keluarga bagi memastikan tiada keciciran data.
Dalam pada itu, JKM merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas komitmen mempengerusikan mesyuarat berkala bersama agensi berkaitan termasuk NADMA, PDRM, ATM, JPS dan MetMalaysia.
“Kita ada PDRM, ATM, JPS, MetMalaysia, NADMA dan sebagainya, dengan jaringan yang sangat baik ini, apabila berlaku banjir, koordinasi tindakan dapat dilakukan dengan cepat," katanya lagi.
JKM kini menggalakkan masyarakat memuat turun aplikasi MyIB JKM, bagi memudahkan pendaftaran awal maklumat isi rumah serta mengenal pasti PPS terdekat. Setakat ini, 225,285 ketua isi rumah berdaftar dengan lebih 165,000 muat turun aplikasi direkodkan.
Melalui aplikasi itu, mangsa hanya perlu mengimbas kod QR di PPS kerana maklumat telah disimpan dalam sistem. Data pendaftaran turut disambungkan secara terus kepada NADMA dan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi memudahkan penyaluran Bantuan Ihsan RM1,000 setahun kepada ketua isi rumah terjejas.
Aplikasi MyIB turut dihubungkan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengenal pasti pelajar, termasuk calon SPM, yang ditempatkan di PPS bagi memastikan sokongan sewajarnya dapat disalurkan.
JKM menegaskan komitmen untuk terus meningkatkan pengurusan bencana dari tahun ke tahun demi memastikan penyampaian bantuan lebih cepat, tepat dan tersusun.