KUALA LUMPUR, 17 Disember -Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang memuktamadkan Pelan Strategik Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli 2025 hingga 2035.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, kerangka yang dibangunkan bersama 17 kementerian dan agensi berkaitan itu bagi memperkukuh tahap kesihatan komuniti berkenaan secara menyeluruh dan bersepadu.
"Bagi memastikan intervensi kesihatan bergerak seiring dengan hala tuju pembangunan sosial dan ekonomi Orang Asli diperingkat nasional, kearah Orang Aslii sihat maju jaya berteraskan budaya dan kelestarian alam sekitar.
"Pelan ini juga akan berfungsi sebagai pelan tindakan khas bagi menyokong komitmen RMK13 khususnya dalam meningkatkan akses dan kesaksamaan perkhidmatan kesihatan orang asli melalui pendekatan 'sosial determinance of health'," katanya di Dewan Negara, bagi menjawab soalan senator Manolan Mohamad.
Tambahnya, pelan strategik berkenaan turut berfungsi sebagai pelan tindakan sokongan kepada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), khususnya dalam usaha meningkatkan akses dan kesaksamaan perkhidmatan kesihatan untuk komuniti Orang Asli.
Pelaksanaannya akan memberi tumpuan kepada pendekatan Penentu Sosial Kesihatan yang mengambil kira faktor seperti persekitaran, sosioekonomi dan akses kepada kemudahan asas, bagi menangani jurang kesihatan secara lebih mampan.
Inisiatif itu sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan kesihatan Orang Asli dilaksanakan secara inklusif, holistik dan berterusan, selaras dengan matlamat pembangunan negara.