BAGAN SERAI, 22 Januari - Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan sebanyak 4.1 juta atau 70 peratus kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun akan diberi suntikan vaksin COVID-19 menerusi Program PICK Kids yang akan bermula Februari depan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata suntikan vaksin hanya akan diberikan kepada golongan kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan.
Menurutnya, meskipun jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak berada pada tahap rendah, golongan itu tetap perlu dilindungi.
"Sebab itu hari ini, kerajaan buat penetapan KKM melalui PPKD telah mendapat kelulusan bersyarat Pfizer-BioNTech yang dos kanak kanak 10 mikrogram, 0.2 mil akan diberikan pada kanak-kanak dalam sela lapan minggu yang akan bermula 3 Februari ini."
"Kita akan mula beri suntikan vaksin ini kepada kanak kanak yang bermasalah kesihatan dan komorbid seperti obesiti, kencing manis, masalah jantung, buah pinggang dan sebagainya," katanya ketika ditemui dalam sidang media selepas hadir pada program Jualan Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Perak, Parlimen Bagan Serai, di Tapak Pasar Tani, Pusat Bandar, di sini.
Untuk rekod, bermula Januari 2020 hingga Januari 2022, seramai 269,000 kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun telah dijangkiti COVID-19.