fb fb fb fb fb

KKM sasar 10,000 sukarelawan untuk daftar dalam MyCHAMPION

SEPANG, 26 Mac - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan 10,000 sukarelawan daripada agensi dan persatuan di bawah naungannya, untuk mendaftar dalam Program MyCHAMPION.

Sukarelawan terlibat akan dilatih dan dilantik untuk berkhidmat di lapangan, menjadi agen perubahan tingkahlaku masyarakat, sekali gus memperkasa kesihatan komuniti.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan langkah proaktif tersebut bagi menangani tiga isu utama iaitu membantu Malaysia dalam fasa peralihan ke endemik, meningkatkan pembudayaan hidup sihat serta isu kebersihan persekitaran dan kelestarian alam sekitar.

"Kita memerlukan satu pendekatan yang melibatkan seluruh negara, untuk kita jayakan semua cabaran yang telah saya gariskan dan pada bulan Julai, kita juga akan melancarkan kempen saringan kesihatan secara besar-besaran", katanya semasa pelancaran MyCHAMPION Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.

(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin)

"Kita menyasarkan 1.5 juta rakyat Malaysia yang belum melalui saringan kesihatan, akan dapat saringan kesihatan yang pertama. MyCHAMPION juga akan digerakkan untuk mengenal pasti mereka yang berisiko tinggi, sebagai contoh mereka yang sudah berusia, 50 tahun ke atas yang tidak pernah menjalani saringan kesihatan.

MyCHAMPION merupakan program di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat, dalam usaha memperkasa fungsi komuniti ke arah gaya hidup lebih sihat.

Dalam perkembangan lain, Khairy turut memaklumkan Rang Undang-Undang larangan merokok dan pemilikan produk rokok elektronik (Vape) terhadap generasi yang lahir selepas tahun 2005, akan dibentangkan pada sesi persidangan Parlimen Julai ini.

"Rang undang-undang tersebut sedang dimuktamadkan oleh Jabatan Peguam Negara, dan saya rasa dalam tempoh satu hingga dua minggu ini dah selesai dan boleh saya bentangkan kepada Jawatankuasa Khas Kesihatan dan Teknologi.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran MyCHAMPION Peringkat Kebangsaan di Sepang, Selangor.

Media Baharu