PADANG BESAR, 18 Ogos – Sebanyak RM1 juta diperuntukkan kepada penduduk Kampung Santan Selatan menerusi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Suriani Ahmad berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk menyelesaikan isu sedia ada di bawah Santuni MADANI serta pelbagai isu baharu yang dikenal pasti, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan dan kemajuan komuniti setempat.
Beliau berkata, beberapa program dan projek telah dikenal pasti untuk dilaksanakan sehingga Disember 2025.
Antaranya, naik taraf infrastruktur di Klinik Desa Santan, penyediaan ruang solat dan tandas OKU di Masjid Nurus Said, pembinaan tapak pelupusan sampah, baik pulih dewan orang ramai, pemasangan wi-fi, baik pulih jalan serta pelaksanaan program komuniti.
“Semua isu yang telah disebutkan tadi sedang ditangani dan akan diselesaikan secara libat urus bersama-sama agensi kerajaan di Perlis iaitu Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Kerja Raya, Majlis Perbandaran Kangar dan Jabatan Kesihatan Negeri," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI KKM di Kampung Santan Selatan.
Dalam majlis itu, seramai 125 penduduk kampung berdaftar dalam sistem Kasih menerima Baucar Sentuhan Kasih MADANI dengan kerjasama syarikat Ishah Bintong Sdn. Bhd.
Selain itu, Sekolah Kebangsaan Santan turut dipilih sebagai Sekolah Angkat MADANI dengan peruntukan sebanyak RM100,000 yang memberi tumpuan kepada lima bidang utama, merangkumi peningkatan infrastruktur dan kemudahan sekolah, pemerkasaan akademik serta bimbingan pelajar, latihan dan pembangunan guru, penyediaan bantuan kewangan serta biasiswa, selain pembangunan siasah dan kemahiran pelajar.