PUTRAJAYA, 18 Ogos – Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) tidak boleh dijadikan sumber mutlak khususnya dalam hal melibatkan agama, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, dalam Islam konsep tabayyun atau semakan kesahihan maklumat merupakan asas penting yang perlu dititikberatkan, termasuk ketika merujuk ayat al-Quran dan hadis.
"Baru-baru ini di London, sebuah pertubuhan Islam terkemuka menggunakan ChatGPT untuk mendapatkan ayat al-Quran, namun bila semakan dibuat ia ternyata tidak lengkap.
"Justeru, semakan tetap perlu dilakukan, ayat al-Quran mesti jelas daripada surah mana, hadis dari periwayat mana. Itu yang melatih kita untuk menilai kesahihan dan keaslian sumber," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini.
Tambah beliau, walaupun AI boleh membantu mempercepat akses maklumat, ia tidak boleh dianggap sebagai rujukan sahih setaraf sumber muktabar seperti Sahih Bukhari atau Sahih Muslim.
"Bahaya kalau kita menganggap sahih ChatGPT sama seperti sahih hadis. Saya tidak katakan supaya ia diketepikan, tetapi ia bukan sumber mutlak," katanya lagi.