KKM perkukuh kesiapsiagaan hadapi peningkatan kes Influenza A di Sabah

TAWAU, 23 Oktober -Kementerian Kesihatan (KKM) mempertingkatkan langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes Influenza A di Sabah menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17.

RINGKASAN BERITA AI
  • KKM tingkatkan kesiapsiagaan menjelang PRU DUN Sabah dengan pemantauan rapi melalui klinik sentinel ILI.
  • Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Wanita & Kanak-Kanak Likas berperanan sebagai fasiliti sentinel SARI.
  • Penjujukan genetik diperkuat untuk pengawasan genomik bagi kesan mutasi virus Influenza A.
  • Nasihat kesihatan: pemakaian pelitup, etika batuk/bersin, dan penjarakan diri di pusat mengundi.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, KKM kini melaksanakan pemantauan rapi melalui tujuh klinik sentinel penyakit seperti influenza (ILI) di seluruh negeri.

Klinik yang terlibat ialah Klinik Kesihatan Sandakan, Tawau, Manggatal, Luyang, Lahad Datu, Membakut dan Tandek di Kota Marudu.

Selain itu, Hospital Queen Elizabeth, di Kota Kinabalu dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas turut berfungsi sebagai fasiliti sentinel Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) bagi memantau kes jangkitan pernafasan serius.

Kita sebenarnya telah membuat persiapan di fasiliti sentinel SARI (Severe Acute Respiratory Infection) dan ILI (Influenza-Like Illness), termasuk di Fever Centre dan fasiliti berkaitan. Langkah ini amat penting bagi untuk kita membuat persiapan. Dan apa lagi langkah-langkahnya?

“Pertama adalah memperkukuhkan sistem pengawasan genomik. Kita akan sentiasa membuat penjujukan genetik (genetic sequencing) bagi memantau sebarang perubahan atau mutasi pada virus Influenza A,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Kesihatan Kg Sungai Imam di Tawau, Sabah.

Untuk pengundi bergejala, KKM menasihatkan supaya memakai pelitup separuh muka, menjaga etika batuk dan bersin, serta menjarakkan diri ketika berada di pusat mengundi.

Sementara itu, berdasarkan laporan Minggu Epidemiologi (ME) 42/2025 mendapati kadar konsultasi kes influenza di negara ini meningkat kepada 13,508 pesakit termasuk 1,174 di Sabah.