fb fb fb fb fb

KKM-KPM jalin kerjasama pemberian dos penggalak COVID-19

KUALA LUMPUR, 15 Jun - Kementerian Kesihatan akan memulakan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi pemberian dos penggalak COVID-19 di sekolah melibatkan kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

Ini susulan jumlah penerima golongan berkenaan yang  kurang memberangsangkan dengan jumlah 7,163 penerima iaitu 2 peratus sejak ia mula disyorkan pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, ia sebagai langkah mengurangkan pembaziran vaksin yang sedang dihadapi kementerian ketika ini.

"Angka rendah ini juga faktor penyumbang pembaziran sebabkan vaksin luput dan pelupusan vaksin ni dalam angka besar  8.5 juta, disebabkan ini kerajaan...sangat risau dan inginkan apakah berlaku terhadap pembaziran ini.

"KKM sudah mengemukakan Kertas Putih perolehan penggunaan vaksin dan nyatakan beberapa perkara dan ketidak aturan berlaku telah ditegur oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) tentang perolehan pada kerajaan lepas," katanya di Dewan Rakyat hari ini.



Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin berhubung langkah meningkatkan keyakinan rakyat terutama kanak-kanak terhadap pengambilan dos penggalak.

Setakat ini, hanya 2.5 peratus populasi bersamaan 824,835 rakyat Malaysia mendapatkan dos penggalak kedua.

Pada 8 Februari lalu, Anwar dalam satu sidang media memaklumkan KKM akan membentangkan Kertas Putih berhubung perolehan vaksin COVID-19 dan kos berkaitan, yang sebahagiannya dipercayai tidak mengikut peraturan dan ditandatangani tanpa persetujuan Peguam Negara.

Susulan kenyataan itu, bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, yang bertanggungjawab terhadap perolehan vaksin COVID-19 ketika pandemik, menafikan dakwaan terbabit dengan menegaskan semua perolehan yang dibuat ketika pentadbiran PN dibentangkan kepada Kabinet dan diketahui AGC.

Media Baharu