fb fb fb fb fb

KKM jamin data dan maklumat peribadi MySejahtera terpelihara

KUALA LUMPUR, 31 Mac - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan data dan maklumat peribadi pengguna yang disimpan dalam pangkalan data MySejahtera adalah terpelihara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata setiap maklumat peribadi pengguna hanya bagi tujuan kawalan pandemik oleh KKM sahaja.

Menurut beliau, penggunaan dan pengurusan data MySejahtera adalah tertakluk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342], Akta Perubatan 1971 [Akta 50] dan piawaian antarabangsa.

(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin/FOTO Facebook Khairy Jamaluddin)

"Merujuk kepada usul yang telah dibahaskan pada hari ini, yang telah bertitik tolak daripada Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara yang dikeluarkan 24 Mac yang lalu, telah wujud perbahasan di peringkat awam yang meragui dan mempertikaikan tentang isu pemilikan dan keselamatan data aplikasi MySejahtera ini.

"Ingin saya tegaskan bahawa sebelum kerajaan melancarkan aplikasi ini pada 20 April 2020, MKN bagi pihak Kerajaan telah memeterai Perjanjian Ketakdedahan (Non-Disclosure Agreement - NDA) dengan KPISOFT pada 1 April 2020 dengan termaterma yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

"Antara terma utama yang terkandung dalam perjanjian NDA ini termasuklah berkenaan hak milik setiap data dan maklumat yang diperolehi menerusi penggunaan aplikasi MySejahtera, adalah hak milik penuh dan mutlak Kerajaan," katanya ketika penggulungan perbahasan usul aplikasi MySejahtera di Dewan Negara hari ini.

Khairy berkata, transaksi data daripada aplikasi MySejahtera akan dimuat naik ke jaringan pelayan awan setiap hari dan hanya boleh diakses untuk kegunaan aplikasi MySejahtera serta aplikasi sokongan yang berkaitan dengan pandemik COVID-19 sahaja.

Menurutnya lagi, berhubung keselamatan aplikasi dan data pula, pihak MAMPU dan NACSA telah menjalankan pelbagai ujian bagi memastikan bahawa aplikasi MySejahtera selamat, pengujian penembusan dan kerentanan (penetration and vulnerability test) sebelum ia dilancarkan.

Selain itu, katanya NACSA juga telah menjalankan audit keselamatan berkala setiap bulan dan melaksanakan ujian penembusan dari semasa ke semasa selain turut melaksanakan audit trail kepada server yang menyimpan data

"Berdasarkan fakta-fakta ini, saya ingin menekan bahawa setiap data dan maklumat yang diperolehi menerusi aplikasi MySejahtera adalah hak milik kerajaan dan terjamin keselamatan dan kerahsiaannya.

"Saya berharap orang ramai akan terus menggunakan aplikasi MySejahtera tanpa ragu-ragu. Kerahsiaan data orang ramai adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek ini tidak dikompromi," katanya di Dewan Negara, hari ini.

Media Baharu