fb fb fb fb fb

KKM diberi tempoh dua hingga tiga minggu bentang SOP, cadangan berkaitan pembukaan sempadan

ISKANDAR PUTERI, 18 Februari - Kementerian Kesihatan (KKM) diberi tempoh dua hingga tiga minggu untuk membentangkan kepada kabinet, SOP pembukaan sempadan negara sebelum keputusan mengenainya dimuktamadkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan membuka sempadan harus dilihat dengan teliti.

Pelbagai pendapat diterima daripada masyarakat termasuk yang masih mahu kerajaan membuat intervensi seperti memperketat SOP kerana bimbang dengan trend jangkitan COVID-19 yang meningkat.

“Kalau boleh kita hendak membuka semula ekonomi. Pendapatan daripada sektor seperti pelancongan adalah besar dan boleh membantu negara.

"Tetapi dalam masa yang sama kita perlu lindungi rakyat kita. Jadi keseimbangan ini yang sedang dicari oleh KKM," katanya.

“Kita sudah memberi tempoh kepada KKM dalam masa dua hingga tiga minggu. Mereka kena bentang dalam Kabinet untuk kita buat keputusan sama ada kita hendak buka terus sempadan kita, ataupun masih lagi ada sekatan-sekatan (melibatkan) negara-negara terpilih,” kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Taman Nusantara, di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang mengulangi pendirian mengenai kepentingan pembukaan sempadan pada 1 Mac ini.

Pada 8 Februari lepas, Muhyiddin mengumumkan syor MPN agar Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib, seawal 1 Mac depan.

Langkah itu katanya perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

Media Baharu