fb fb fb fb fb

KKD sasar 100,000 pengunjung pada sambutan Hari Kebangsaan ke-66

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 7 Ogos - Seramai 100,000 pengunjung disasar akan membanjiri Dataran Putrajaya pada sambutan Hari Kebangsaan ke-66 pada 31 Ogos ini.

Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata pelbagai acara menarik menanti pengunjung terutama perbarisan dan perarakan melibatkan 10 kontinjen daripada pelbagai kluster meliputi ekonomi, perbankan, komunikasi, industri kreatif, sukan, komuniti dan keselamatan.

(Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD),
Datuk Mohamad Fauzi Md Isa)

"Kita akan bawakan persembahan aksi tempur wira yang akan dipersembahkan oleh 'Red Warrior Army' daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Kita juga akan adakan penerjunan tepat payung terjun oleh pasukan komando VAT69 daripada PDRM dan juga demonstrasi unit anjing K9.

"Kita juga ada persembahan gendang dan ini agak istimewa kerana dimaklumkan tahun ini akan lebih ramai mengambil bahagian di mana seramai 400 orang akan terlibat yang dibawakan oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN)," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, di sini.

Tambah Mohamad Fauzi, beberapa artis tempatan turut akan membuat persembahan pada sambutan Hari Kebangsaan kali ini.

Media Baharu