fb fb fb fb fb

KKD laksana pelbagai program tingkat kefahaman rakyat terhadap dasar kerajaan

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching/FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 12 Disember - Usaha untuk meningkatkan kefahaman rakyat terhadap dasar dan inisiatif kerajaan akan dipergiat tahun hadapan menerusi pelbagai platform.

Ini termasuklah secara bersemuka menerusi Program Taklimat Isu Isu Semasa, Program Kita MADANI dan Jalinan Insan Wahana Aspirasi, JIWA.

Jelas Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, bagi tempoh Januari sehingga 30 November 2023, sebanyak 312 program seumpamanya telah dilaksana Jabatan Penerangan di seluruh negara.

"Bermula Januari hingga 30 November 2023, JaPen telah melaksanakan sebanyak 312 program Taklimat Isu-Isu Semasa berskala besar di seluruh negeri dan daerah. Manakala pada tahun 2024, program ini akan diteruskan dengan program berskala lebih besar dengan menyasarkan pemahaman yang lebih baik terhadap sesuatu isu yang berbangkit melibatkan key communicators Kerajaan dan masyarakat keseluruhannya.

"Dalam tempoh yang sama, sebanyak 42 program Kita MADANI telah dilaksanakan di seluruh negara dengan penglibatan khalayak sebanyak 32,920 orang", katanya di Dewan Negara hari ini ketika menjawab soalan Senator Datuk Juhanis Abd Aziz.

Tambahnya, usaha bagi menepis penyebaran Berita palsu juga akan dipergiat menerusi pelbagai medium siaran RTM, Bernama dan MCMC.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD