KUALA TERENGGANU, 12 Disember- UMNO Terengganu tidak akan melakukan rombakan besar-besaran dalam tempoh terdekat selepas pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT) baharu, Datuk Rozi Mamat berkuatkuasa pada 7 Disember lalu.
Namun begitu, Rozi berkata perubahan sebahagian struktur pentadbiran parti itu akan berlaku mengikut kesesuaian dan akan diputuskan secara bersama.
Ujarnya yang menjadi keutamaannya kini adalah untuk memperkuat akar umbi dan memperbaiki beberapa permasalahan.
"Pertamanya kita perlu merapatkan silaturahim, hubungan dalam kalangan keluarga UMNO dulu baru kita melihat di luar. Kita selesaikan masalah rumah tangga kita dahulu. Kalau mana-mana yang pincang itu kita akan bincang bersama dan baru saya akan lihat di luar. Kita penting sama ada orang muda, orang tua semua penting. Yang utama kita perlu meyakinkan rakyat bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) ini masih relevan untuk membantu dan membela rakyat pada masa akan datang," katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Tambah Rozi, UMNO juga perlu muncul dengan wajah baharu bagi menarik lebih banyak sokongan terhadap parti itu.
"BN bukanlah sebuah parti baharu, kita parti yang telah berpengalaman dan telah lama. Walaupun begitu, kita perlu 'rebranding' baharu yang sesuai dengan negeri Terengganu," katanya.
Pelantikan Rozi sebagai Pengerusi UMNO Terengganu dimaklumkan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi surat rasmi dikeluarkan minggu lalu.
Rozi menggantikan Ahmad Said yang juga bekas Menteri Besar Terengganu manakala Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengambil alih jawatan tersebut daripada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Berdasarkan surat berkenaan, Ahmad Zahid berkata, pelantikan Rozi dan Onn Hafiz dibuat selaras dengan Fasal 12.5 Perlembagaan UMNO.