JOHOR, 23 Disember- Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang mengenalpasti lokasi-lokasi panas banjir, khususnya di kawasan pedalaman atau pulau-pulau yang masih
tiada perkhidmatan telekomunikasi yang baik.
Langkah ini menurut Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching bagi membolehkan KKD berbincang dengan syarikat telekomunikasi untuk mempercepatkan penambahbaikan liputan perkhidmatan.
(Timbalan Menteri Kementerian Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching ketika sidang media selepas
mengadakan lawatan ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Angkatan Pertahanan Awam Johor)
Bagi kawasan dilanda banjir pula, syarikat-syarikat telekomunikasi sudah menyediakan genset bagi memastikan menara telekomunikasi dapat terus
beroperasi apabila bekalan elektrik dihentikan.
Manakala bagi pusat pemindahan sementara (PPS) yang padat hingga menyebabkan talian telekomunikasi terganggu, KKD menyediakan ‘Cellular on Wheels’.
"Memang pelbagai perbincangan diadakan dan saya harap kita boleh pastikan amaran disampaikan kepada warga malaysia dan komuniti tertentu dalam masa yang singkat dan dalam masa sama perkhidmatan komunikasi itu tidak tergaggu bila sesuatu tempat berlaku bencana besar,"katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Angkatan Pertahanan Awam Johor di Johor Bahru.
Sementara itu, setakat ini KKD tidak menerima sebarang laporan berkaitan talian telekomunikasi terputus akibat banjir di Kelantan dan Terengganu.