fb fb fb fb fb

Kilang hasilkan stoking kalimah Allah di Batu Pahat, dalam siasatan polis - Exco Johor

Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 18 Mac- Kerajaan Johor menyerahkan siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), berhubung dakwaan kilang yang menghasilkan stokin mempamerkan perkataan Allah, terletak di Batu Pahat.

Perkara itu tular di media sosial baru-baru ini, memaparkan satu gambar kilang dengan mesej mendakwa kilang tersebut bertanggungjawab mengeluarkan stokin berkenaan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata siasatan yang teliti dan tegas diperlukan bagi menyiasat dakwaan tersebut.

Justeru, beliau menyeru umat Islam di Johor untuk bersabar, sementara proses siasatan berlangsung.

Beliau bersetuju tindakan tegas dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mencemarkan kemuliaan agama Islam dalam negara.

"Saya nasihatkan orang Islam negeri Johor khususnya, bersabar, sebab siasatan yang teliti mesti dibuat."

"Dalam melahirkan rasa kebencian kita terhadap perbuatan yang tidak boleh diterima itu, saya percaya bangsa Johor yang beragama Islam sangat tertib," kata Fared kepada pemberita semasa Program Ramadan Mosque Day di Masjid Sultan Iskandar, Johor Bahru, yang turut dihadiri Ketua Eksekutif Waqaf An Nur, Bukhari Abd Rahman.

Program melibatkan 1,000 peserta bertujuan memberi kefahaman ibadah puasa umat Islam, serta berkongsi pengalaman dengan masyarakat bukan Islam dan saudara Islam baharu.

Turut dilancarkan, program Syahadah An Nur, bagi membimbing saudara baharu Islam, mendalami agama Islam, serta mendapat khidmat nasihat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM