fb fb fb fb fb

Kandungan media sosial, perlu ikut garis panduan- Fadhlina

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek/BERNAMA

IPOH, 18 Mac- Guru digalakkan mencipta kandungan di media sosial, namun ia perlu menjurus ke arah pendidikan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kandungan tersebut juga perlu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

"Kita galakkan kandungan ini dibuat dalam bentuk untuk memberikan pendidikan, khususnya membantu subjek-subjek untuk anak-anak murid dan juga kesedaran-kesedaran berkaitan pendidikan", katanya kepada media program Jaulah Ramadan sempena Ihya' Ramadan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Sekolah Raja Perempuan Taayah di Ipoh.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) Rafiq Razali hari ini yang mendesak guru supaya tidak menjadikan pelajar mereka sebagai kandungan di media sosial terutamanya jika tanpa kebenaran ibu bapa.

Pada program itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada murid-murid dalam kalangan B40, asnaf dan miskin dengan kerjasama Yayasan Didik Negara.

Di Perak, seramai 150 murid menerima sumbangan tersebut termasuk murid di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Ummah dan Sekolah Raja Permaisuri Bainun.

ROSLINA BINTI DIN