fb fb fb fb fb

Kilang diarah henti operasi, lepas efluen tidak terawat

Pelepasan efluen berwarna biru secara terus ke longkang awam tanpa rawatan

ALOR SETAR, 16 Mac- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah menahan operasi sebuah kilang di kawasan Mergong Barrage, Alor Setar kerana didapati melepaskan efluen berwarna biru secara terus ke dalam longkang awam.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab dalam satu kenyataan memaklumkan penemuan pelepasan efluen itu berlaku ketika rondaan rutin yang dijalankan pegawai jabatan itu pada Khamis lalu.

Beliau berkata premis itu telah diarahkan untuk menghentikan serta merta punca pencemaran dan dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) dan punca pencemaran iaitu peralatan basuhan telah disita.  
 
"Pegawai-pegawai penyiasat kemudiannya telah menyusuri perparitan awam hingga menemui punca pelepasan dan didapati sebuah premis pembuatan telah melepaskan efluen berwarna biru secara terus ke longkang awam tanpa rawatan.
 
"Jarak longkang yang tercemar adalah sepanjang kira-kira 70 meter. Sample telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisa.
 
Katanya, pelepasan efluen secara terus tanpa dirawat daripada premis adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.
 
Notis arahan dibawah Seksyen 31 dan 37,  Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 juga dikeluarkan untuk premis mengemukakan langkah-langkah pembaikan.  
 
Premis juga boleh dikenakan kompaun dibawah Peraturan 5, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 atas kegagalan menyediakan sistem pengolajan efluen perindustrian.

ROSLINA BINTI DIN