fb fb fb fb fb

Kibar Jalur Gemilang dengan penuh bangga

Foto FB Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 30 Ogos - Kemerdekaan yang dikecapi hingga ke hari ini tidak akan mampu dipertahankan tanpa rakyat yang bersatu padu, hidup harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inilah kekuatan sebenar Malaysia, sebuah negara yang dibina atas asas perpaduan dan pengorbanan rakyatnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, selain memperkukuh semangat persaudaraan antara satu sama lain.

Katanya, sambutan kemerdekaan kali ini juga adalah penghargaan buat seluruh rakyat Malaysia yang terus setia menjaga dan mempertahankan tanah air yang kita cintai bersama.

"Tanggal 31 Ogos sentiasa menjadi detik keramat yang mengingatkan kita kepada laungan “Merdeka!” yang bergema di Stadium Merdeka pada tahun 1957, disusuli dengan pengisytiharan penubuhan Malaysia pada tahun 1963.

"Ia kekal sebagai saksi bahawa sebuah bangsa yang dahulunya dijajah mampu bangkit dengan penuh maruah dan keyakinan," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” yang dipilih untuk sambutan tahun ini mengingatkan bahawa kemerdekaan sebenar tidak hanya diukur dengan bebasnya sesebuah negara daripada penjajah, tetapi bagaimana rakyat disantuni, didengar suara dan dibela nasib mereka.

Beliau turut mengucaokan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-68 kepada seluruh rakyat Malaysia.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI