SHAH ALAM, 8 Disember- Kerajaan Negeri Selangor melalui Syarikat pembangunan hartanah di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB), akan membangunkan lebih 2,300 unit rumah teres mampu milik di Bernam Jaya, Hulu Selangor pada pertengahan tahun depan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pembinaan projek tersebut akan dilaksanakan di atas tanah seluas 77.29 hektar dan ia dijangka siap dalam tempoh lima tahun.
"Bernam Jaya ini antara projek rumah teres yang akan membuka peluang perniagaan baru dan juga pekerjaan baru dan ekonomi yang lebih rancak di kawasan utara Selangor.
"Kita percaya limpahan- limpahan dinikmati oleh penduduk dan juga warga di negeri ini, dia sebelah pembangunan PKNS, ada lebih kurang 6,000 ekar tanah di situ, sebahagianya telah direalisasikan dan sebahagiannya saya rasa 'on going' kita dah bekerjasama dengan pemilik-pemilik beberapa pemaju untuk membangunkan kawasan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan penjenamaan identiti korporat baharu KHSB yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif KHSB, Rahana Abdullah di sini, hari ini.
KHSB menjenamakan semula identiti korporatnya bagi meremajakan identiti dan memantapkan budaya korporat seiring perubahan masa.
Amirudin dalam ucapannya berkata penjenamaan semula identiti tersebut meningkatkan keyakinan pembeli rumah terhadap reputasi KHSB selain kesinambungan pembangunan ekonomi negeri.
Sementara itu, Rahana berkata syarikat itu juga sedang giat membina 2,091 unit pangsapuri perkhidmatan ‘The Atera’ di Petaling Jaya dengan usahasama Paramount Property Development Sdn Bhd.
"Projek tersebut memiliki tiga blok dengan blok pertama sudah berjaya dijual sebanyak 60 peratus, dan ia mula dibangunkan pada tahun lepas kita jangka semuanya akan selesai dalam tempoh lapan tahun,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua projek itu katanya mempunyai nilai pembangunan kasar berjumlah RM1.5 bilion.
KHSB juga akan melancarkan satu lagi perumahan mampu milik di Bukit Cherakah, Shah Alam pada tahun hadapan.