fb fb fb fb fb

Khairy lawat GPO, lihat amalan, penyelidikan kanabis dalam perubatan

BANGKOK, 25 Ogos- Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin diberi peluang melawat kilang pembuatan Organisasi Farmaseutikal Kerajaan (GPO) sempena lawatan kerja bilateral kesihatan empat hari ke Thailand.

Timbalan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul yang juga merangkap Menteri Kesihatan Awam mengalu-alukan ketibaan Khairy dengan memperkenal produk dan projek ganja perubatan serta amalan makmal yang baik untuk menghasilkan produk ganja perubatan berkualiti tinggi oleh GPO.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, Charnvirakul memberi penjelasan mengenai dasar ganja di Thailand yang merangkumi penanaman, penyelidikan, penggunaan kanabis & ketum untuk tujuan kesihatan.

"Ketibaan Khairy di Bangkok juga memberi peluang untuk melawat kilang pembuatan GPO untuk melihat proses pengeluaran produk kanabis perubatan," menurut hantaran berkenaan.

(Khairy diberi taklimat mengenai penyelidikan kanabis dan ketum untuk tujuan kesihatan)

Sempena lawatan itu juga Khairy turut melawat Hospital Bumrungrad yang merupakan antara hospital swasta terbesar di Asia Tenggara.

Hospital berkenaan telah menerima lebih satu juta pesakit setiap tahun termasuk 520,000 pesakit antarabangsa dari lebih 190 negara yang melancong ke Thailand untuk mendapatkan rawatan perubatan.

"Hospital ini menyediakan program penjagaan perubatan bersepadu yang merangkumi kesejahteraan atau gaya hidup pesakit dan rawatan perubatan untuk mendapatkan hasil yang lebih baik dari segi peningkatan kualiti hidup pesakit," menurut hantaran itu lagi.

Lawatan kerja Khairy ke Thailand sejak Isnin lalu bagi meneroka potensi penggunaan kanabis dan ketum dalam bidang kesihatan serta menghadiri Mesyuarat Peringkat Tertinggi Kesihatan dan Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di sini.

Media Baharu