JOHOR BAHRU, 13 Februari- Ketua Polis Johor Komisioner M. Kumar menerima ancaman bom menerusi e-mel rasminya daripada seorang individu yang bernama Takahiro Karasawa, semalam.
M. Kumar mengesahkan perkara itu.
Dua laporan polis telah dibuat berhubung ancaman bom di negeri itu setakat semalam.
Selain beliau, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), turut menerima ancaman serupa menerusi e-mel daripada alamat sama.
"Kadang-kadang kita nak cakap apa yang difikir oleh orang ini susah kerana hanya dia yang tahu apa yang dia fikir. Mungkin pada saya dia nak mewujudkan satu suasana ketegangan.
"Saya ingin memberi amaran tegas di sini apa yang dilakukan oleh orang ini adalah salah di sisi undang-undang dan pihak polis akan mengambil tindakan tegas. Kita cuba dalam usaha untuk menjejakinya dan apa-apa perkembangan kita akan maklumkan kemudian," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas program Menyantuni Petugas Ops Selamat 21 di sini.
Berpandukan modus operandi serupa, pihak polis tidak menolak kemungkinan bahawa kedua-dua kes tersebut didalangi orang sama.
Bagaimanapun, motif pelaku masih belum dipastikan dan sedang dalam siasatan.