KUALA TERENGGANU, 15 April - Pemantauan berterusan akan dilaksana Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KeTSA) bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku fenomena jerebu ekoran cuaca panas yang melanda Semenanjung negara kini.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata antara yang sedang dilakukan adalah pemantauan di kawasan yang berisiko dari semasa ke semasa.

"Persediaan itu termasuk daripada segi pemantauan kawasan-kawasan sensitif seperti tanah gambut, kawasan yang mudah terbakar, kawasan-kawasan pembakaran terbuka yang biasa berlaku, persiapan daripada segi bekalan air sebab isu dia bila musim kering ini masalah bekalan air," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Iftar Ramadan, di sini, pada Jumaat.
Tambah Nik Nazmi, cuaca panas yang berlaku ketika ini di beberapa lokasi merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tidak sihat.
Beliau juga berkata, kementerian juga turut akan mengadakan mesyuarat mengenai isu jerebu dalam masa terdekat.