Kesusahan dorong pelajar tahfiz raih 11A SPM

Muhammad Luqman Mohammad Aqsa (tengah) meraih 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025

KUANTAN, 31 Mac– Kesusahan hidup menjadi pendorong kepada pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), Muhammad Luqman Mohammad Aqsa meraih 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • Latar keluarga sederhana: bapa pembantu kantin dan ibu seorang suri rumah.
  • Beliau berniat membantu golongan kurang bernasib baik selepas berjaya.
  • Maahad tahfiz catat GPS cemerlang; wakil Yayasan Pahang memuji pencapaian terbaik negeri.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, bapanya, Mohammad Aqsa Abd Wahab bekerja sebagai pembantu kantin manakala ibunya, Norkamiza Baharuddin merupakan suri rumah.

Mengenangkan kesempitan hidup yang dialami, beliau turut berhasrat membantu golongan kurang bernasib baik pada masa hadapan.

“Saya mahu membantu orang yang senasib dan lebih susah daripada saya.

Saya percaya masih ramai yang memerlukan bantuan dan itu menjadi impian saya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang, Nur Fatin Syuhada Ahmad Najami yang memperoleh 10A berkongsi kaedah pembelajarannya.

Beliau berkata, rutin tidur awal dan bangun seawal pukul 3 pagi membantu meningkatkan fokus ketika mengulang kaji pelajaran.

“Saya akan bangun awal, bersenam terlebih dahulu sebelum mencari tempat yang tenang untuk belajar.

Tidur awal juga penting kerana banyak kesan buruk jika tidur lewat,” katanya.

Dalam pada itu, Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) 0.60.

Manakala Maahad Tahfiz Negeri Pahang mencatat GPS 1.06 bagi SPM 2025.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Abd Razak Abu Musa Saari, pencapaian itu merupakan rekod tertinggi pernah dicapai.

“Keputusan ini amat cemerlang dan membanggakan negeri Pahang.

Kedua-dua maahad tahfiz menunjukkan keberhasilan yang memberangsangkan,” katanya.