fb fb fb fb fb

Kestabilan politik, RUU kekalkan kerajaan hingga akhir penggal dicadang digubal

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 13 Januari - Satu Rang Undang-Undang (RUU) khusus perlu digubal bagi membolehkan Kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU), kekal sehingga akhir penggal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata RUU tersebut bagi membolehkan tumpuan diberi kepada pentadbiran negara sekali gus membolehkan pertumbuhan ekonomi, dipertingkat.

"Saya ingin menyarankan supaya satu rang undang-undang dibentangkan bahawa jika sesebuah kerajaan itu diwujudkan sama ada atas sesebuah parti dominan atau gabungan parti dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, maka ia harus kekal hingga ke akhir penggal.

"Jika tidak, kita akan mengalami perkara terdahulu dan ia tidak baik untuk negara dan rakyat secara keseluruhanannya. Saya fikir kita harus bertindak dan berfikiran lebih positif dalam perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Pemukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata harus ada perubahan dalam minda ahli politik bahawa sesuatu gabungan parti politik yang telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan, mestilah diberi laluan mentadbir negara sehingga penggal terakhir Parlimen.

"Kita harus bertindak dan berfikiran positif dalam perkara ini. Biarpun politik itu sangat dinamik dan pragmatik, dalam hal ini kita harus lebih praktikal untuk menjaga sebuah negara.

"Boleh berbeza pendapat, tetapi untuk kepentingan negara, kita tidak harus menjadikan rakyat sebagai satu bahan uji kaji demi kepentingan nafsu politik dalam kalangan ahli politik. Cukuplah untuk kita belajar daripada pengalaman yang lalu," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN