LANGKAWI, 19 Mei - Persefahaman dan keutuhan kerjasama setiap parti yang membentuk Kerajaan MADANI, perlu dikekalkan.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kestabilan politik terbukti berhasil bawa pelbagai manfaat buat rakyat dan negara.
Kejayaan itu turut dipacu keberkesanan dasar ekonomi dan kerja keras penjawat awam.
"Jika sistem politik negara tidak kukuh, sehebat mana sekalipun jentera pentadbiran atau dasar ekonomi yang digubal, ia tetap tidak mampu menarik pelaburan asing mahupun keyakinan rakyat.
"Hari ini, di mana sahaja kita pergi, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Ada yang mengatakan ini kerana faktor saya, namun saya menegaskan bahawa kejayaan ini adalah hasil usaha bersama seluruh pasukan daripada menteri hingga ke penjawat awam yang bekerja keras memastikan kelancaran pentadbiran negara." tegasnya.
Beliau berucap pada Majlis Perasmian Pejabat Parti Keadilan Rakyat Cabang Langkawi.
Untuk terus membina kekuatan negara, Datuk Seri Anwar mengingatkan semua pihak agar mengelak sikap permusuhan dan sentimen perkauman.