KUALA LUMPUR, 29 April- Kerajaan menunjukkan komitmen berterusan untuk menarik pelaburan ke Malaysia.
Ini dapat dilihat melalui usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah hadir ke Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi.
Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpandangan ketika ini, kestabilan kerajaan Malaysia, kemudahan infrastruktur yang baik dan polisi yang mesra pelanggan dalam negara antara elemen penting untuk menarik pelabur asing ke Malaysia.
"Ini terbukti apabila kita lihat banyak negara terutama dari Amerika Syarikat, Jerman dan China mula datang ke Malaysia menambah pelaburan mereka dan mengembangkan pelaburan yang sedia ada di dalam negara.
"Ini membawa fokus yang lebih tersusun, lebih terperinci dan komprehensif dan tertumpu kepada teknologi terkini.
"Tidak melupakan industri yang pelbagai bukan sahaja industri sedia ada, tetapi TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan latihan teknikal," katanya kepada pemberita di sini.
Tambahnya, fokus ekonomi global juga tertumpu kepada rantau Asia Pasifik dan dijangka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Asia Pasifik akan menunjukkan pertumbuhan positif yang lebih tinggi berbanding rantau Eropah.
Semalam, pada sesi Plenari Pembukaan Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia di Riyadh, Perdana Menteri menegaskan Malaysia kekal memainkan peranan dalam mengimbangi hubungan diplomatik negara blok Timur dan Barat.