fb fb fb fb fb

Kerja naik taraf jeti Kuala Kedah, ganggu urusan kerja nelayan

Foto RTM

KUALA KEDAH, 29 April- Projek menaik taraf Terminal Jeti Kuala Kedah yang baru bermula dilihat mengganggu rutin harian nelayan di kawasan berkenaan.

Ketiadaan jeti atau pelantar menyimpan dan menurunkan hasil laut antara masalah yang dihadapi kumpulan nelayan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata isu itu akan dibawa kepada pihak berkaitan untuk dibincangkan.

Perbincangan akan dijalankan bersama pihak bertanggungjawab termasuk Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mencari jalan penyelesaian.
 
Ia termasuk membina jeti pendaratan ikan sementara di kawasan berdekatan.

Sebelum ini, kira-kira 80 nelayan bot kecil dan 40 bot besar mendaratkan ikan di jeti-jeti yang dibina di kawasan pesisir sungai berdekatan Terminal Feri Kuala Kedah.
 
Bagaimanapun, jeti-jeti berkenaan yang kebanyakannya tidak berdaftar dengan pihak berkuasa perlu dikosongkan bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan Terminal Feri Kuala Kedah yang baharu dilakukan.
  
"Jalan penyelesaian akan dicari bagi membantu nelayan untuk terus turun mencari rezeki di samping menyokong pembangunan menaik taraf semula Terminal Jeti Kuala Kedah bagi kemudahan rakyat pada masa hadapan," kata Datuk Mohd Salleh selepas mengadakan perjumpaan bersama nelayan Kuala Kedah di Kampung Tok Pasai, di sini.
 
Beliau turut meninjau tapak baharu cadangan pangkalan nelayan Kuala Kedah di Alor Tok Pasai.
 
Projek Meroboh, Membina dan Menaik Taraf Terminal dan Jeti Penumpang, Kargo dan Roro Kuala Kedah di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) dilaksanakan bermula bulan ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM