fb fb fb fb fb

Kesihatan PM stabil, perlukan rehat secukupnya – Wan Azizah

Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 November – Keadaan kesihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berada dalam keadaan baik selepas menjalani pemeriksaan doktor pagi tadi.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan hasil pemeriksaan menunjukkan keadaan beliau stabil dan hanya memerlukan rehat secukupnya selepas melalui jadual tugas rasmi yang padat sejak kebelakangan ini.

“Dia (Datuk Seri Anwar) sudah siap tadi, tapi dia kata kalau teruskan naik helikopter ke Pahang hari ini, mungkin akan beri kesan lebih teruk sebab otot dia tegang. Itu yang menyebabkan sedikit kekangan untuk pergi pagi ini. PM sudah makan ubat dan dia perlukan rehat. Insya-Allah, selepas berehat secukupnya, dia akan kembali pulih,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2024 Peringkat Parlimen Bandar Tun Razak, di ibu negara.

Terdahulu, Perdana Menteri terpaksa membatalkan lawatan kerja ke Pahang yang dijadualkan hari ini atas nasihat pasukan perubatan.

Datuk Seri Anwar yang mengalami sakit belakang dan pergerakan terbatas dinasihatkan agar mendapatkan rehat yang mencukupi bagi membolehkan beliau pulih sepenuhnya sebelum meneruskan tugasan rasmi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN