GEORGETOWN, 2 November - Modul pembentukan karakter murid akan diperkenalkan secara menyeluruh mulai tahun depan, dengan pendekatan bersepadu yang diintegrasikan dalam subjek pembelajaran sedia ada.
Menteri Pendidikan, (KPM) Fadhlina Sidek berkata, pelaksanaan inisiatif itu akan dimulakan dengan murid prasekolah sebelum diperluas kepada murid Tahun Satu dan seterusnya.
Menurutnya, pendekatan itu, bertujuan melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga memiliki kekuatan emosi, disiplin diri dan kemahiran sosial yang tinggi.
"Ini sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Saya mohon bagi ruang kepada guru-guru dan anak-anak kita untuk perjalanan kurikulum baru yang akan mula pada tahun hadapan," katanya.
"Pembentukan karakter ni boleh dilibatkan ibu bapa komuniti kementerian.. GLC dan siapa sahaja, " tambah beliau lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Seminar “Wacana Fikrah Siddiq Fadzil: Karamah Insaniyah - Pencetus Negara Bangsa”, di sini hari ini.
Sementara itu, Fadhlina berkata, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin di Bukit Mertajam akan beroperasi tahun depan.
Para pelajarnya bukan sahaja akan diterapkan dengan ilmu agama, malah nilai kemanusiaan sejagat yang akan menitikberatkan persoalan kepentingan masyarakat majmuk di Malaysia.
"Ya kita akan ada sebuah sekolah baru SMKA Syeikh Tahir Jalaluddin. Nama sekolah ini diambil sempena nama tokoh dakwah yang ada pemikiran yang sangat besar di Pulau Pinang, "katanya.
"Sekolah ini akan memberikan tumpuan kepada aspek dakwah. Ia akan mengambil inspirasi daripada beberapa kekuatan khususnya untuk menampilkan Islam yang sifatnya lebih ramah, harmoni dan menghormati aspek kepelbagaian masyarakat," jelas beliau lagi.