fb fb fb fb fb

Keselamatan sinaran nuklear di tempat kerja perlu diberi penekanan

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr Rosli Darmawan

KUALA LUMPUR, 29 Oktober- Kepimpinan dalam pengurusan keselamatan sinaran kini diberi penekanan besar dalam memastikan pematuhan kepada Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304).

Dalam usaha ini, Agensi Nuklear Malaysia mengadakan Seminar Kesedaran Keselamatan Sinaran bagi Orang Bertanggungjawab Terhadap Lesen (OBTL) dengan fokus kepada pentingnya peranan OBTL dalam mengawal keselamatan sinaran di tempat kerja.

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr Rosli Darmawan berkata, sebagai OBTL, tanggungjawab yang dipikul adalah besar iaitu memastikan setiap amalan berkaitan sinaran dalam organisasi dijalankan mengikut piawaian keselamatan yang ketat dan mematuhi Akta 304 atau lebih dikenali sebagai Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984.

Beliau berkata Akta 304 bukan sekadar garis panduan, malah menjadi asas utama yang mengawal selia penggunaan tenaga atom dan bahan radioaktif di Malaysia.

"Kepatuhan kepada akta ini bukan sahaja wajib, malah tidak boleh dikompromi. Dengan kepatuhan yang tinggi, kita dapat mengurangkan risiko sinaran, melindungi kesihatan awam serta memelihara alam sekitar daripada ancaman sinaran yang tidak terkawal", katanya menerusi kenyataan.

Seminar tersebut menjadi satu wadah ilmu untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam pengurusan dan kepimpinan nuklear terhadap perlindungan sinaran keselamatan, amalan keselamatan sinaran terbaik di tempat kerja dan budaya kerja yang selamat dalam kalangan para OBTL, pekerja sinaran dan orang awam di sekitarnya.

"Seminar ini mengetengahkan peranan penting teknologi dan aplikasi sinaran mengion dalam pelbagai sektor antaranya pertanian, perubatan, agrikultur, industri, pembuatan, penyelidikan dan alam sekitar.

"Walaupun teknologi ini memberi kelebihan kompetitif kepada negara, aspek keselamatan tidak boleh diabaikan", menurut kenyataan Nuklear Malaysia.

Tambahnya, kepimpinan dalam bidang itu, bukan sahaja menekankan aspek pengetahuan teknikal, malah memerlukan pengurusan strategi betul dalam perlindungan keselamatan sinaran.

"Semua pihak terlibat perlu memainkan peranan proaktif dalam memastikan keselamatan sinaran yang mampan. Kerjasama dan sokongan yang mantap serta komitmen yang berterusan oleh semua pihak boleh menjadi asas kepada kepimpinan nuklear yang mantap dan berwibawa.

Penerapan budaya keselamatan yang kuat secara menyeluruh adalah kunci kepada kejayaan pengurusan sinaran di Malaysia.

ROSLINA BINTI DIN