KUALA LUMPUR, 29 Oktober-Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia (CFM), Cor Episcopa Philip Thomas bagi membincangkan usaha memperkukuhkan perpaduan.
Menurut Anwar, pertemuan tersebut juga penting untuk bertukar pandangan serta memahami keperluan masyarakat pelbagai agama di negara ini.
“Pertemuan ini merupakan platform yang signifikan untuk saya mendengar hal-hal berkaitan kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya percaya bahawa kerjasama erat antara pelbagai agama adalah kunci kepada keharmonian dan kemajuan negara kita, serta untuk melangkah maju ke arah Malaysia yang lebih inklusif dan sejahtera untuk semua.
"Moga usaha kita bersama akan terus mengukuhkan ikatan perpaduan dan keharmonian di dalam negara tercinta ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.