KUALA LUMPUR, 2 Januari- Kesejahteraan rakyat terus menjadi komitmen utama Kerajaan Madani.
Hal itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook rasminya, hari ini selain menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya akan terus bekerja keras demi mencapai aspirasi itu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berkongsi hantaran setiausaha politiknya, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berhubung kerja baik pulih dan penaiktarafan Balai Polis Beserah, Kuantan.
"Projek menaik taraf balai polis yang bermula Oktober tahun lalu, mendapat sokongan penuh Perdana Menteri sekali gus berjaya disiapkan dalam tempoh hanya dua bulan seperti yang dijadualkan.
Selain memperbaharui kemudahan balai polis, projek itu juga bertujuan memberi keselesaan dan kualiti perkhidmatan anggota polis," kata kenyataan itu.
Jelasnya, usaha itu penting bagi memastikan anggota polis menjalankan tugas secara efisien dan penuh dedikasi selain berada dalam persekitaran yang lebih kondusif.
Dalam perkongsian itu, Ahmad Farhan turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan berharap agar keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat terjamin hasil projek penaiktarafan balai polis tersebut.