fb fb fb fb fb

Kesejahteraan mental guru, asas keberkesanan pendidikan

Prof. Dr Suriani menyampaikan replika cek Anugerah Tokoh Guru Suluh Budiman kepada Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof

TANJUNG MALIM, 15 Mei- Kesejahteraan mental dan emosi guru sebagai asas penting dalam memastikan keberkesanan pendidikan dan pembentukan generasi masa depan yang sejahtera dan berdaya saing.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Suriani Abu Bakar berkata guru yang sihat dari segi mental dan emosi mampu memberi tumpuan penuh dalam pengajaran, sekali gus melahirkan pelajar yang cemerlang secara akademik dan seimbang dari segi emosi serta sahsiah.

“Guru yang bahagia akan dapat melahirkan murid yang sejahtera. Justeru, usaha untuk memperkasakan kebajikan guru akan diteruskan melalui program sokongan psikososial dan pembangunan profesionalisme berterusan,” katanya.

Beliau berkata guru bukan sekadar sebagai penyampai ilmu, malah sebagai pembimbing jiwa, pencetus inspirasi dan agen perubahan dalam masyarakat, malah ibarat pelita yang tidak pernah padam, menyuluh lorong kehidupan anak-anak bangsa, menjadi pendorong dan pembimbing ke arah kemenjadian yang cemerlang.

Beliau berucap ketika menyempurnakan Majlis Anugerah Inspirasi Pendidikan sempena Sambutan Hari Guru peringkat UPSI 2025 yang bertemakan ‘Guru Inspirasi Cerminan Masa Depan’ di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI, semalam.

“UPSI yang melahirkan graduan pendidikan terus komited untuk mendukung peranan guru dalam era pasca-pandemik dan cabaran pendidikan semasa.

Menurut Prof. Dr Suriani, UPSI mengangkat prinsip ‘humanizing education’ atau pendidikan yang memanusiakan manusia, yang menekankan nilai empati, keterangkuman, integriti dan kesejahteraan dalam sistem pendidikan yang perlu menjadi tunjang dalam pembentukan guru masa kini agar dapat melaksanakan peranan mereka dengan lebih berkesan dan bermakna.

“Sebagai universiti pendidikan utama negara, kami memperjuangkan dan menjunjung prinsip ‘humanizing education’, menjadikan pendidikan sebagai satu proses memanusiakan manusia. Ini melibatkan bukan sahaja ilmu pengetahuan, tetapi pemupukan nilai dan kesejahteraan emosi.

Sehubungan itu, UPSI menubuhkan 'Intervention and Therapy Centre (InTact)' yang menawarkan perkhidmatan terapi cara kerja dan psikologi klinikal kepada kanak-kanak dan remaja yang menghadapi isu seperti autisme, gangguan hiperaktif (ADHD), kebimbangan, kemurungan dan penolakan ke sekolah (school refusal).

“Kami percaya kesejahteraan bukan hanya milik murid, tetapi bermula daripada gurunya. Maka intervensi perlu dilihat secara menyeluruh, bukan hanya rawatan selepas krisis, tetapi pencegahan awal dan pemupukan sokongan sepanjang hayat.

Selain itu, UPSI juga menubuhkan Pusat Kajian Inklusif bagi Komuniti dan Orang Kurang Upaya (CIRCLE) yang memberi fokus kepada pendekatan penjagaan dan pendidikan inklusif untuk memberi latihan kepada membantu guru-guru yang berkhidmat dengan komuniti berkeperluan khas.

Prof. Dr Suriani turut mengumumkan kerjasama strategik antara UPSI dan Maybank dalam memperkukuh pendidikan inklusif dan kesejahteraan komuniti melalui program biasiswa, sumbangan peralatan digital, sokongan kepada pusat penjagaan, serta transformasi program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) luar bandar.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pembangunan Manusia UPSI, Profesor Madya Dr Abdul Talib Mohamed Hashim, menyokong usaha memperkukuh kesejahteraan pendidik dan menyifatkan tema sambutan tahun ini sebagai sangat relevan dengan cabaran dan peranan guru masa kini.

“Sambutan Hari Guru pada tahun ini membawa makna besar terhadap peranan pendidik dalam membina tamadun ilmu dan menyemai nilai insani dari zaman Sultan Idris Training College (SITC), kemudian Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) dan kini sebagai UPSI.

“Perjalanan institusi ini bukan sahaja menggambarkan transformasi pendidikan tinggi negara, tetapi juga membuktikan bahawa komitmen kita terhadap kualiti, integriti dan kecemerlangan dalam pendidikan tidak pernah luntur", katanya.

Beliau berkata anugerah yang disampaikan merupakan pengiktirafan terhadap dedikasi luar biasa dalam bidang akademik, penyelidikan, inovasi dan khidmat masyarakat.

“Anugerah ini adalah lambang penghargaan terhadap dedikasi luar biasa warga pendidik. Anda semua adalah tonggak utama yang memastikan UPSI terus menjadi mercu tanda pendidikan unggul di negara ini,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan sesi penyampaian beberapa anugerah berprestij, termasuk Anugerah Pendidik Bitara, Anugerah Pendidik Cemerlang, Anugerah Tokoh Alumni serta Anugerah Tokoh Guru Suluh Budiman yang disandang oleh Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof sebagai menghargai sumbangan cemerlang beliau dalam bidang pendidikan negara.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Ahmad Burak, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr Norkhalid Salimin, Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman dan Ketua Kewangan Pengguna Maybank, Zolkefli Awang.

Sempena sambutan itu juga, UPSI menyampaikan Anugerah Pendidik Bitara, Anugerah Tokoh Alumni, Anugerah Pendidik Cemerlang serta Tokoh Guru Suluh Budiman kepada 20 penerima.

 

ROSLINA BINTI DIN