fb fb fb fb fb

Kesejahteraan emosi ibu fokus utama Sambutan Hari Ibu di Perlis

Turut hadir ADUN Indera Kayangan, Gay Ay Ling, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) LPPKN, Dr Mohd Azizuddin Mohd Yussof dan Pengarah LPPKN Perlis, Naemah Ibrahim

PADANG BESAR, 26 Mei - Keperluan psikologi dan kesejahteraan emosi golongan ibu menjadi fokus utama dalam Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Perlis 2024.

Timbalan Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Juwairiya Zulkifli dalam kenyataannya berkata, mental yang sejahtera dan stabil berupaya memberi kekuatan kepada ibu untuk mengendalikan tekanan dengan baik, dapat bekerja dengan produktif dan pastinya mampu menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara yang progresif.

"Mengambil kira situasi dan cabaran semasa para ibu juga, LPPKN kini giat melaksanakan pelbagai program dan perkhidmatan kesejahteraan wanita dan keluarga.

"Ini termasuklah Program Pendidikan Kekeluargaan, Perkhidmatan Kaunseling Keluarga dan Perkahwinan, Program Terapi dan Perkhidmatan Kesihatan Reproduktif kepada masyarakat dan komuniti di seluruh negeri Perlis." kata Juwairiya.

Bersempena Sambutan Hari Ibu, pelbagai aktiviti diadakan bagi mewarnai dan menterjemahkan konsep sambutan ialah Riadah KASIH Ibu, Demonstrasi Air Tangan Ibu, Forum 'Terima KASIH Ibu' - Ibu Sihat Keluarga Bahagia, Art Therapy Ekspresi KASIH Ibu dan Perkhidmatan KASIH Keluarga melalui kaunter informasi dan unit bergerak Jabatan dan Agensi Negeri.

Hari Ibu yang disambut pada hari Ahad minggu kedua Mei setiap tahun merupakan platform penting bagi memberi tumpuan dan penghormatan kepada ibu selain meraikan wanita bergelar ibu atas segala jasa yang telah diberikan sebagai pendokong utama kesejahteraan keluarga.

Ini Sejajar dengan konsep 'Keluarga Harmoni, Negara MADANI'.

Turut hadir pada program itu ialah, ADUN Indera Kayangan, Gay Ay Ling, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) LPPKN, Dr Mohd Azizuddin Mohd Yussof dan Pengarah LPPKN Perlis, Naemah Ibrahim.

Sambutan diadakan di Dewan Semai Bakti, Felda Rimba Mas, Padang Besar.

TETITIA YUSOFF