fb fb fb fb fb

Kejadian ribut, hujan lebat jejas kediaman, harta benda penduduk Pangsapuri Putra Ria

Keadaan di sekitar Pangsapuri Putra Ria Bangsar susulan kejadian bumbung jatuh akibat ribut dan hujan lebat

KUALA LUMPUR, 25 Mei - Cemas dan menggemparkan, itu apa yang digambarkan penduduk Pangsapuri Putra Ria, Bangsar semasa kejadian ribut dan hujan lebat pada petang Sabtu.

Pada kejadian sekitar pukul 6.30 petang itu, enam buah rumah terjejas teruk pada bahagian bumbung.

Manakala, enam kenderaan yang sedang diparkir terkena cebisan bumbung yang diterbangkan angin.

Penduduk yang ditemui mengakui terkejut akan kejadian yang menimpa pangsapuri 22 tingkat itu.

"Cemas sebab ini pertama kali, memang tidak pernah berlaku sebelum ini, hendak lari kemana tidak boleh sebab hujan.

"Lebih kurang dalam pukul enam, saya dengar bunyi dentuman yang kuat dengan angin yang terlalu kencang menyebabkan bumbung-bumbung semua tercabut dan terkena kereta yang lalu di sini juga kereta-kereta yang diparkir di kawasan ini," kata Abu Bakar Hasnah.

"Pada pukul 6.30, angin sangat kuat dan keadaan hujan. Ketika itu, kami semua dalam rumah menangis, pertama kali kami ia terjadi," kata M. Santha Kumari.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Lembah Pantai Sub Zon 1, Abdul Hanif Sulaiman berkata kerja pembaikan akan dilakukan secepat mungkin.

Ini terutamanya di kediaman yang kehilangan hampir keseluruhan bumbung

"Rumah yang terjejas ini, kita sudah pergi melihat dan kita sudah minta pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk ambil tindakan segera. Pihak syarikat pengurusan pun sudah datang dan membuat penilaian dan mereka akan ambil tindakan segera," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN