fb fb fb fb fb

Tujuh pelajar peroleh mumtaz mutamayyiz dalam IKP 2025

Foto Facebook Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

PUTRAJAYA, 26 November - Seramai tujuh pelajar memperoleh keputusan tertinggi, mumtaz mutamayyiz dalam Ithbat KAFA Pratahfiz (IKP) 2025 sekali gus menjadi penanda aras penilaian hafazan peringkat KAFA.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, pencapaian itu membuktikan tahap penguasaan hafazan memuaskan dalam fasa perintis pelaksanaan standard nasional.

"Seramai tujuh pelajar memperoleh keputusan Mumtaz Mutamayyiz, iaitu pencapaian tertinggi. Saya percaya penilaian Ithbat KAFA PraTahfiz ini dapat menggalakkan pelajar untuk terus menghafaz al-Quran sejak awal lagi.

"Insya-Allah, pelajar yang berjaya khususnya tujuh pelajar yang mendapat keputusan Mumtaz Mutamayyiz ini akan kita bawa masuk ke sekolah-sekolah terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengumumkan keputusan Ithbat KAFA Pratahfiz (IKP) 2025 yang berlangsung di Kompleks Islam Putrajaya di sini.

Seramai 77 orang calon berdaftar dan telah hadir sepenuhnya untuk menduduki peperiksaan IKP 2025. Keputusan IKP 2025 merekodkan Gred Purata Skor (GPS) pada 2.09 dengan kelulusan 100 peratus.

IKP 2025 turut menyaksikan 17 pelajar memperoleh keputusan cemerlang tinggi (mumtaz ‘ali), 25 pelajar mendapat keputusan cemerlang (mumtaz), manakala 19 pelajar meraih keputusan kepujian (jayyid jiddan).

Sementara itu lapan pelajar lagi mencatat keputusan baik (jayyid) dan seorang mendapat keputusan memuaskan (maqbul).

Bermula 2020 Melaka negeri pertama melaksanakan IKP secara menyeluruh selepas melalui penilaian tahap tiga, empat dan lima, sekali gus membuktikan kesiapsiagaan negeri itu melaksanakan penilaian tahap enam.

Kejayaan itu disokong prestasi cemerlang daripada empat buah sekolah rintis terlibat, iaitu Sekolah Rendah Agama (SRA) Jaim Jelatang, SRA Minyak Dua, SRA Sungai Putat, dan SRA Jaim Taman Maju.

JAKIM turut merancang peluasan pelaksanaan IKP secara berfasa ke negeri lain dengan pemantauan berterusan bagi memastikan kesediaan dari aspek kurikulum, infrastruktur dan tenaga pengajar.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI