fb fb fb fb fb

Kesedaran meningkat, 2,500 pengunjung sokong Kempen Penang Goes Orange

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Penang Goes Orange (PGO) 2025 di Padang Kota Lama, di George Town/RTM

GEORGE TOWN, 14 Disember -Lebih 2,500 pengunjung hadir menyatakan sokongan terhadap Kempen Penang Goes Orange (PGO) 2025 yang bertujuan memberi advokasi kepada masyarakat bagi menghentikan keganasan berasaskan gender.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim berkata, sambutan memberangsangkan tersebut mencerminkan tahap kesedaran masyarakat yang semakin tinggi serta kesediaan orang ramai untuk bersama-sama menangani isu keganasan berasaskan gender.

Menurutnya, kempen itu memperkenalkan pendekatan 5D sebagai bertindak kepada masyarakat apabila berdepan situasi keganasan, iaitu Distract,Delegate, Document, Delay dan Direct menggalakkan orang ramai supaya tidak hanya menjadi pemerhati, sebaliknya berani bertindak sebagai "upstander" bagi membantu mangsa dan mencegah keganasan daripada berterusan.

"Sebab tema tahun ini adalah 'Jangan Duk Diam'. Dulu kita selalu kata, oh mangsa, kita selalu seru jangan buat keganasan, jangan kita nak hentikan keganasan. Bagaimanapun kali ini kita nak bertindak sebagai seorang, jangan sekali-kali jadi seorang pemerhati sahaja yang perhati, memerhati.

"Tetapi tidak ambil sebarang tindakan. Kita nak masyarakat kita ini berani bertindak, iaitu berani bersuara dan menjadi upstander, iaitu berani untuk memberi bantuan, kemungkinan kamu boleh menyelamatkan satu nyawa atau menyelamatkan keadaan satu keluarga," kata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Penang Goes Orange (PGO) 2025 di Padang Kota Lama, di sini.

Hadir sama pada program itu ialah, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Datuk Ong Bee Leng dan Datuk Bandar Seberang Perai, Datuk Baderul Amin Abdul Hamid.

Sementara itu, Lim Siew Khim turut menegaskan bahawa stigma masyarakat yang menganggap keganasan rumah tangga sebagai isu peribadi dan sikap berdiam diri hanya akan memburukkan keadaan dan menyebabkan mangsa terus terpinggir tanpa sokongan.

"Kita perlu beri sokongan dan beri mesej yang betul kepada mereka. Selalunya apabila serius keganasan itu berlaku, sebab tak ada orang ambil tahu. Tak ada. Tetapi jika kamu fikirkan, jika kamu berani untuk bertindak dan kita dapatkan sokongan untuk membantu mangsa, selalunya pelaku ini dia tahu kamu tiada sokongan," katanya lagi.

TETITIA YUSOFF