SEPANG, 13 Disember -Selepas hampir setahun pelaksanaannya, sistem Autogate Kod Respons Pantas (QR) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terbukti berjaya mempercepatkan proses pelepasan imigresen serta mengurangkan kesesakan penumpang.
Tinjauan mendapati, rata-rata pengguna memberikan respons positif terhadap sistem berkenaan, khususnya dari segi penjimatan masa dan kelancaran urusan perjalanan.
Seorang peniaga, Muhammad Abduh Ibrahim berkata, proses pelepasan kini jauh lebih pantas berbanding sebelum ini.
“Prosesnya sangat cepat dan tidak lagi sesak,” katanya.
Pandangan sama turut dikongsi oleh seorang lagi peniaga, Wan Mohd Nazuan Wan Mohd Yusoff.
Beliau memberitahu, sistem itu turut membantu mengoptimumkan penggunaan tenaga kerja Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Autogate ini menjimatkan sumber manusia. Jika ditambah lebih banyak kaunter, urusan perjalanan akan lebih lancar,” katanya.
Seorang pesara, Kamariah Muda, menyifatkan sistem itu mudah digunakan dan mesra pengguna.
“Ia pantas dan ringkas, cuma jumlah kaunter perlu ditambah kerana penumpang yang ramai,” katanya.
Sementara itu, penjawat awam Norhayati Omar berkata penggunaan sistem automatik tersebut amat membantu, khususnya kepada warga emas.
“Ia mempercepatkan urusan imigresen dan selari dengan kemajuan teknologi semasa,” katanya.
Sistem Autogate Kod QR diperkenalkan pada awal Januari menggantikan keperluan pengimbasan pasport serta pengambilan data biometrik secara manual, sekali gus memendekkan masa menunggu di balai ketibaan dan pelepasan.
Pelaksanaannya sebahagian daripada reformasi perkhidmatan awam kerajaan yang menekankan kecekapan, ketelusan dan penggunaan teknologi dalam penyampaian perkhidmatan.