PUTRAJAYA, 23 November - Peningkatan kes keganasan terhadap wanita menunjukkan wujudnya kesedaran lebih tinggi dalam kalangan mangsa untuk tampil membuat laporan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata walaupun angka itu mungkin tidak mencerminkan keseluruhan situasi sebenar, namun ia membuktikan wanita kini semakin berani untuk mendapatkan bantuan.
"Memang kes-kes yang dilaporkan meningkat, tetapi itu hanya bagi mereka (wanita) yang berani tampil. Mungkin sebelum ini kes sudah banyak berlaku, tetapi tidak dilaporkan. Ini bermakna kesedaran sudah ada dan kita mahu ia terus diperkukuh," kata Nancy.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan program Larian Oren sempena Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2024, di sini.
Dalam pada itu lebih 3,000 peserta menyertai program yang disambut pada 25 November setiap tahun.
Nancy berkata, kempen itu turut menyeru seluruh dunia supaya menjadikan pencegahan keganasan berasaskan gender sebagai agenda utama negara.
Bertemakan ‘UNiTE! Invest to Prevent Violence Against Women and Girls’ di peringkat antarabangsa, ia merupakan seruan yang menunjukkan betapa pentingnya setiap individu menghentikan keganasan terhadap golongan wanita.
"Bermakna kesedaran itu sudah ada dalam kalangan wanita, jadi sebab itu kita anjur program seperti ini supaya ramai orang buka mata hanya wanita, kawan, ketua masyarakat, semua kena bantu untuk mereka yang terkesan. Kerana kadang-kadang mereka sendiri malu. Sebab takut ditinggalkan oleh pasangan. Hilang tempat bergantung," kata Nancy.
Turut diadakan pada program itu ialah aktiviti fun aerobic zumba, pameran usahawan dan cabutan bertuah.