MELAKA, 23 November - Seramai 264 penduduk terjejas banjir daripada 71 keluarga di Melaka berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pukul 8.00 pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, tiga PPS berkenaan dibuka secara berperingkat sejak malam tadi.
Tiga PPS terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak 2, Dewan Japerun Pantai Kundor dan SK Taman Bukit Rambai.
"PPS SK Tanjung Minyak 2 merekodkan bilangan penduduk terjejas banjir tertinggi iaitu seramai 179 orang melibatkan 47 keluarga.
"Manakala PPS SK Taman Bukit Rambai menempatkan 53 penduduk terjejas daripada 14 keluarga dan 32 lagi penduduk terjejas banjir daripada 10 keluarga ditempatkan di Dewan Japerun Pantai Kundor, " menurut kenyataan itu.
Setakat ini, terdapat empat kawasan masih terjejas akibat banjir iaitu Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama, Kampung Bukit Datuk A dan Kampung Pantai Kundur.