SEPANG, 14 April- Seorang pengawal peribadi cedera parah akibat terkena tembakan di Balai Ketibaan KLIA 1, kira-kira pada pukul 1.30 pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, suspek telah melepaskan tembakan sebanyak dua kali sebelum dia melarikan diri.
Siasatan lanjut polis mendapati suspek mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.
Jelasnya, salah satu tembakan telah terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi tersebut.
"Bagaimanapun, salah satu tembakan mengenai seorang individu, mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum suspek melarikan diri sejurus selepas kejadian.
"Pihak polis telah mengenal pasti identiti suspek.
"Suspek yang dipercayai melarikan diri ke arah utara sedang diburu polis.
"Motif kejadian masih dalam siasatan polis.
"Kes diklasifikasikan sebagai kes cubaan bunuh dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api," katanya menerusi kenyataan.
Tambahnya, insiden itu adalah bersifat peribadi dan tidak melibatkan sebarang aktiviti keganasan atau mana-mana kumpulan.
Keadaan di KLIA adalah terkawal dan selamat.