PUTRAJAYA, 14 April- Malaysia dengan tegas mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam Tentera Rejim Israel (IOF) di Rafah Jumaat lalu yang secara terang-terangan menyerang dan mencederakan beberapa sukarelawan dan petugas dalam konvoi penghantaran bantuan kemanusiaan.
Ini termasuk mereka yang mengendalikan bantuan dari Malaysia menerusi Ops Ihsan.
Menurut Wisma Putra, serangan terhadap petugas bantuan kemanusiaan, sukarelawan, dan individu tidak bersenjata yang menjalankan usaha menyampaikan bantuan adalah sama sekali tidak boleh diterima.
"Tindakan kejam oleh Israel ini mencerminkan kekejaman yang melampaui sebarang pemahaman atau justifikasi.
"Ia tidak lagi mencukupi untuk mengutuk tindakan kezaliman ini secara berlapik
"Sudah tiba masanya bagi masyarakat antarabangsa untuk bersatu dan menuntut agar Israel menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan ini dan bertanggungjawab ke atas jenayah dilakukan mereka.
"Di mana Israel sebelum ini menuntut bahawa tindakan ini adalah langkah-langkah yang diperlukan untuk pertahanan diri, tindakan-tindakannya sejak Oktober tahun lepas jelas menunjukkan sebaliknya; Israel sangat jelas adalah pihak yang menyerang dan mengganas.
"Di saat bantuan sangat diperlukan untuk sampai kepada rakyat Palestin, rejim Israel secara berterusan mengenakan sekatan dan halangan untuk menyeksa golongan tua, rakyat yang kesakitan, wanita dan kanak-kanak,"menurut kenyataan itu.
Tambah Wisma Putra, ia adalah kali kedua operasi Ops Ihsan terganggu.
Serangan pertama berlaku pada 14 Mac lalu; meragut nyawa lapan rakyat Palestin dan mencederakan lebih 20 yang lain.