fb fb fb fb fb

Kes Spanco: Muhyiddin hanya akan dipanggil jika ada keperluan- Azam Baki

Tan Sri Azam Baki ditemui pemberita selepas selepas hadir Majlis Perasmian Pejabat SPRM Cawangan Mersing dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah di Dewan Jubli Intan, Mersing

MERSING, 25 Februari- Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jika ada keperluan dalam siasatan berhubung kes salah guna kontrak Spanco. 

Keperluan untuk memanggil beliau juga akan ditentukan pihak pegawai penyiasat SPRM, berpandukan perkembangan kes.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut menafikan, pernah menuduh ahli parlimen Pagoh itu terpalit dengan kes berkenaan. 

Beliau hanya membuat kenyataan umum dan tidak pernah mengaitkan Muhyiddin dalam kes berkenaan. 

"Sebab saya sudah nyatakan dua hari lepas, dalam Konvokesyen CeIO di WTC KL, beberapa saksi telah dipanggil termasuk bekas menteri kewangan.  Apabila ditanya tentang beliau (Muhyiddin) saya serahkan kepada pegawai penyiasat, bila ada keperluan mereka akan panggil,"katanya.

Semalam, Muhyiddin dilaporkan menafikan dakwaan beliau terbabit dalam salah laku berhubung pemberian kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan kepada SPANCO.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, sehingga kini tohmahan jahat itu berlegar di media sosial tanpa butiran lengkap bagaimana beliau boleh terbabit dalam salah laku berkenaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE