fb fb fb fb fb

Kes kumulatif denggi meningkat 139 peratus

(FOTO HIASAN)

GOMBAK, 9 Julai - Kes kumulatif demam denggi dalam negara meningkat 139 peratus dengan jumlah 59,057 kes bagi tempoh Januari sehingga Julai tahun ini berbanding 24,743 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata dalam tempoh sama, kadar kematian bagi penyakit itu juga dilaporkan meningkat 122 peratus melibatkan 40 kes kematian berbanding 18 kes kematian pada tahun lepas.

(Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa / FOTO BERNAMA)

"Bagi negeri Selangor pula, sebanyak 29,382 kes telah dilaporkan bermula bulan Januari sehingga 2 Julai 2023 berbanding 15,207 kes pada tempoh sama pada tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 93 peratus manakala tujuh kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan di negeri Selangor sehingga kini," katanya selepas merasmikan program Madani Afiat di Dewan Rakyat Batu Caves, di sini.

Justeru, Dr. Zaliha berkata penglibatan semua agensi dan komuniti dalam menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes perlu dilakukan secara konsisten.

Untuk itu, katanya, bagi memastikan usaha itu dapat direalisasikan KKM turut memperkenalkan inisiatif One Hour Malaysia Clean Up.

Inisiatif tersebut akan dijadikan sebagai aktiviti bulanan yang akan dilakukan pada setiap hari Sabtu minggu keempat setiap bulan dalam usaha mengurangkan kes bagi penyakit berkenaan.

"Oleh itu, semua rakyat Malaysia sama ada dari agensi kerajaan, swasta, komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO) disarankan untuk bersama-sama menjadikan program ini sebagai aktiviti bulanan yang diharapkan dapat mengurangkan kes demam denggi dan risiko kematian akibat demam denggi dalam negara kita," katanya.

Media Baharu