KUALA LUMPUR, 3 Januari- Kematian empat daripada lima kucing di Universiti Malaya (UM) bukan disebabkan perbuatan manusia.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata pihaknya menerima laporan hasil bedah siasat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang mengesahkan kematian kucing tersebut disebabkan serangan haiwan liar.
Beliau turut berkata pihaknya menerima lima laporan polis berkaitan penemuan bangkai kucing di universiti tersebut dari 17 Disember tahun lepas hingga semalam.
"Perkembangan hasil siasatan bagi penemuan dua bangkai kucing yang dijumpai pada 17 Disember itu, laporan pemeriksaan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah pun diperoleh dan mengesahkan bahawa terdapat gigitan daripada haiwan.
Sementara itu, perkembangan siasatan bagi penemuan dua lagi bangkai kucing iaitu pada 20 Disember dan juga 25 Disember, hasil bedah siasat mendapati punca kematian kedua-dua kucing itu adalah akibat kecederaan parah pada bahagian dada yang telah mengakibatkan luka dan pendarahan di bahagian jantung," kata Datuk Azry, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Tambahnya, sebanyak 11 rakaman percakapan diambil dari kalangan pensyarah, polis bantuan dan aktivis haiwan susulan kes tersebut.
Dalam pada itu, bagi laporan polis yang diterima semalam, bangkai kucing diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi tujuan bedah siasat.