fb fb fb fb fb

Kes kanak-kanak lemas di taska, jangan sebar dakwaan tidak berasas

(FOTO HIASAN)

IPOH, 11 Julai- Polis memandang serius dakwaan tidak berasas dan penyebaran maklumat palsu melalui media sosial berkaitan kematian seorang kanak-kanak, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata siasatan teliti telah dijalankan dan pihaknya berjaya memperoleh arahan pertuduhan daripada Timbalan Pendakwa Raya.

Tertuduh yang merupakan guru besar taska berkenaan berumur 58 tahun akan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh esok bawah Seksyen 33(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan platform media sosial dengan membuat dakwaan tidak berasas terhadap pihak berkuasa sehingga menganggu siasatan dan menjejaskan kredibiliti PDRM.

Pada 18 April lalu, polis menerima satu laporan mengenai kejadian mati lemas seorang kanak-kanak lelaki berumur 4 tahun di dalam kolam sebuah taska di Bandar Baru Sri Klebang.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu mengabaikan kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Laporan mati mengejut (SDR) turut dibuka bagi menyiasat kematian tersebut.

Terdahulu tular video di media sosial tindakan pasangan ibu bapa kanak-kanak itu berjalan kaki tanpa kasut dengan memegang sepanduk, mengundang perhatian netizen apabila memaklumkan berbuat demikian demi menuntut keadilan kematian anak mereka pada April lepas.

Mereka berjalan kaki dari Bandar Baru Sri Klebang ke IPD Ipoh, dengan membawa sepanduk Justice For Thanes. D. Nilaveni, 40, yang merupakan ibu kepada mangsa mendakwa pusat jagaan kanak-kanak itu cuai ketika menjaga V. Thanes Nair, pada hari pertama mangsa dihantar ke situ.

Kanak-kanak itu dilaporkan lemas selepas terjatuh ke dalam sebuah kolam renang yang terletak berhampiran premis berkenaan, sebelum meninggal dunia enam hari kemudian.


(Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan)

Media Baharu