fb fb fb fb fb

Kes kalimah Allah pada tapak kasut, kertas pendakwaan diserah kepada Peguam Negara - Exco

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid

JOHOR BAHRU, 6 Mei- Siasatan berhubung kes rekaan kasut yang didakwa mengandungi kalimah Allah pada tapak kasut telah selesai.

Kertas pendakwaan juga sudah diserahkan kepada Peguam Negara.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata sebarang keperluan siasatan tambahan adalah tertakluk kepada bidang kuasa Peguam Negara.

"Saya yakin, pihak kita dan lain-lain termasuk penguatkuasaan agama dan polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya telah menjalankan tugas dengan baik."

"Selebihnya, kita akan serahkan kepada budi bicara Peguam Negara dalam membuat tindakan susulan, sekiranya perlu untuk mendakwa mereka yang terlibat," kata Mohd Fared kepada pemberita semasa Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), di sini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Azmi Rohani dan Pengarah JAINJ, Jamaludin Ahmad.

Sementara itu, beliau memberitahu, 3,500 bakal jemaah haji dari Johor berada dalam keadaan sihat dan 500 daripadanya adalah rombongan kerajaan Johor.

Rombongan tersebut akan berlepas ke tanah suci pada 18 Mei ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM